Tuesday, October 27, 2009

Karangan jenis perbahasan

Perbahasan : “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Salam sejahtera diucapkan kepada Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang, rakan pencadang, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi. Saya, selaku pihak pencadang, akan menyokong dengan tajuk perbahasan kita pada hari ini iaitu “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Membawa bekal bermaksud makanan daripada rumah yang dibawa ke sekolah. Tajuk perbahasan pada kali ini membawa maksud kelebihan atau manfaat yang kita perolehi apabila membawa makanan dari rumah ke sekolah berbanding memperolehi makanan yang disediakan di kantin sekolah.

(Isi 1 : makanan di kantin tidak dijamin kebersihannya berbanding dirumah)
Hadirin sekalian,
Makanan yang dijual di kantin tidak dijamin kebersihannya. Kita tidak dapat menjangka sejauh mana pihak kantin menjaga tahap kebersihan ketika menyediakan makanan di kantin. Makanan yang disediakan juga didapati terdedah dan mudah dihinggapi lalat. Faktor ini menyebabkan pelajar-pelajar menghadapi risiko keracunan makanan dan apabila tahap kesihatan pelajar terganggu, maka proses pembelajaran juga akan turut terganggu. Makanan yang dimasak oleh ibu kita pula lebih terjamin malah lebih berkhasiat kerana ibu akan menitik beratkan tahap kebersihan ketika menyediakan makanan untuk keluarga contohnya bahan makanan pasti dibasuh dengan bersih sebelum dimasak.

(Isi 2 : makanan dari rumah lebih berkhasiat)
Pelajar-pelajar kini lebih gemar membeli makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan dan air yang bergas berbanding makanan lain yang disediakan dikantin. Tetapi, jika mereka dibekalkan makanan dari rumah, mereka akan makan makanan yang lebih berkhasiat. Kaum ibu akan memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat agar proses pembelajaran anak mereka lebih lancar kerana makanan berkhasiat akan menyebabkan tubuh lebih cegas dan otak lebih cerdas.

(Isi 3 :membawa bekal dapat menjimatkan wang saku)
Hadirin yang dihormati sekalian,
Membawa bekal dari rumah juga dapat menjimatkan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kita. Kita dapat melatih diri untuk berjimat-cermat. Tambahan pula harga makanan yang dijual di kantin mahal berikutan kenaikan harga barang dipasaran. Apabila kita berjimat-cermat, kita juga dapat menyimpan wang saku kita dengan cara menabung. Wang yang disimpan dapat digunakan untuk membeli buku rujukan atau buku bacaan yang lain. Kita juga dapat membeli barang keperluan tanpa membebankan ibu bapa kita lagi.

(Isi 3 :membawa bekal dapat menjimatkan masa rehat pelajar)
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain menjimatkan wang, membawa bekal dari rumah juga dapat menjimatkan masa. Kita tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan makanan di kantin. Malah ada yang berebut untuk membeli makanan kerana masa rehat di sekolah adalah singkat. Kita dapat menggunakan masa rehat dengan sebaiknya dan dapat masuk ke kelas semula pada masa yang tepat untuk meneruskan proses pembelajaran.

Dengan hujah-hujah yang saya telah berikan, makan jelaslah bahawa membawa bekal dari rumah banyak kebaikan dan keuntungan berbanding membeli makanan di kantin. Rakan seperjuangan saya akan menyambung hujah sebentar lagi bagi menegaskan lagi tajuk perbahasan pada kali ini iaitu “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Oleh : Pn Jijin

2 comments:

  1. thanks . kerana mmbantu saya utk mndapatkn isi penting karangan perbahasan

    ReplyDelete