Tuesday, October 27, 2009

Surat Kiriman Rasmi

Hassan Bin Ali
14 Lorong Ria,
Taman Indah,
81100 Johor Bahru,
Johor
_________________________________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Taman Segar,
81100 Johor Bahru,
Johor.........................................................15 Oktober 2009

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Asing di Taman Indah.

MErujuk perkara di atas, saya Hassan Bin Ali, selaku setiausaha persatuan penduduk Taman Indah, ingin membuat aduan mengenai masalah pendatang asing yang begitu ramai menetap di kawasan kami. Kami mendapati kehadiran mereka mendatangkan beberapa masalah dan mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2.....Untuk makluman pihak tuan, pendatang asing mula bertapak dikawasan kami semenjak beberapa projek pembangunan rumah kedai di sekitar kawasan yang berdekatan dengan Taman Indah iaitu di Taman Damai dan Taman Bahagia. Oleh yang demikian, semakin ramai pendatang tanpa izin mula menduduki pondok-pondok kecil yang disediakan oleh pihak pemaju di sekitar tapak pembinaan dan terdapat segelintir diantara mereka menyewa beramai-ramai di sekitar kawasan kampung ini. Kami khuatir jika pendok-pondok tersebut menjadi sarang kegiatan tidak bermoral seperti perjudian.

3.....Sebelum kedatangan mereka, kehidupan kami amat aman dan selesa. Namun begitu, kehadiran mereka sejak tiga bulan lalu telah merubah kehidupan kami. Sejak akhir-akhir ini, kami banyak mendengar aduan penduduk mengenai ragut dan pecah rumah. Kami mengesyaki bahawa kejadian tersebut melibatkan pendatang asing melalui pertuturan mereka semasa kejadian pecah rumah yang dilaporkan. Pakaian dan kasut yang berada di luar rumah turut hilang sejak kebelakangan ini.

4.....Selain itu, sikap dan moral yang ditunjukkan oleh pendatang asing amat membimbangkan kami. Mereka seringkali dilihat menjalankan kegiatan minum arak dan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan sambil bermesra tanpa segan dan silu terhadap penduduk tempatan. Botol-botol dan tin-tin arak sering bergelimpangan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka. Kami khuatir tindak-tanduk mereka mempengaruhi kanak-kanak tempatan yang sedang membesar di kawasan kami.

5.....Untuk makluman pihak tuan juga, kami mendapati ramai wanita tempatan di kawasan kami sering diganggu oleh pendatang asing. Sebagai ibu bapa, kami amat bimbang jika anak-anak gadis kami tewas dengan pujukkan pendatang asing dan mula menjalinkan hubungan dengan mereka. Kami juga bimbang akan keselamatan kaum wanita di kawasan kami. Pendatang asing di sini juga tidak menghiraukan teguran dan nasihat kami bahkan pernah terjadi pergaduhan kecil antara pendatang asing dengan penduduk tempatan kerana cuba mengganggu wanita tempatan. Ini jelas bahawa mereka tidak menghormati sensitiviti penduduk tempatan di kawasan kami.

6.....Bukan itu sahaja, pendatang asing di sekitar kawasan ini juga pernah bergaduh dikalangan mereka sendiri dan melibatkan senjata tajam, besi dan kayu. Kami khuatir jika perkara ini dibiarkan berlarutan akan melibatkan kecederaan dan korban nyawa samada di kalangan pendatang asing mahupun penduduk tempatan. Kami juga tidak pasti samada pendatang asing yang berada di kawasan ini adalah pendatang tanpa izin atau tidak. Kami berharap agar pihak tuan dapat membuat siasatan terperinci mengenai hal ini.

Kami juga berharap agar pihak tuan dapat membuat tindakan segera bagi menyelesaikan masalah-masalah yang sedang kami hadapi kini. Segala tindakan daripada pihak tuan kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Yang Benar,

Hassan
(Hassan Bin Ali)
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Indah.

Oleh Pn. Jijin

Karangan jenis perbahasan

Perbahasan : “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Salam sejahtera diucapkan kepada Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang, rakan pencadang, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi. Saya, selaku pihak pencadang, akan menyokong dengan tajuk perbahasan kita pada hari ini iaitu “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Membawa bekal bermaksud makanan daripada rumah yang dibawa ke sekolah. Tajuk perbahasan pada kali ini membawa maksud kelebihan atau manfaat yang kita perolehi apabila membawa makanan dari rumah ke sekolah berbanding memperolehi makanan yang disediakan di kantin sekolah.

(Isi 1 : makanan di kantin tidak dijamin kebersihannya berbanding dirumah)
Hadirin sekalian,
Makanan yang dijual di kantin tidak dijamin kebersihannya. Kita tidak dapat menjangka sejauh mana pihak kantin menjaga tahap kebersihan ketika menyediakan makanan di kantin. Makanan yang disediakan juga didapati terdedah dan mudah dihinggapi lalat. Faktor ini menyebabkan pelajar-pelajar menghadapi risiko keracunan makanan dan apabila tahap kesihatan pelajar terganggu, maka proses pembelajaran juga akan turut terganggu. Makanan yang dimasak oleh ibu kita pula lebih terjamin malah lebih berkhasiat kerana ibu akan menitik beratkan tahap kebersihan ketika menyediakan makanan untuk keluarga contohnya bahan makanan pasti dibasuh dengan bersih sebelum dimasak.

(Isi 2 : makanan dari rumah lebih berkhasiat)
Pelajar-pelajar kini lebih gemar membeli makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan ringan dan air yang bergas berbanding makanan lain yang disediakan dikantin. Tetapi, jika mereka dibekalkan makanan dari rumah, mereka akan makan makanan yang lebih berkhasiat. Kaum ibu akan memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat agar proses pembelajaran anak mereka lebih lancar kerana makanan berkhasiat akan menyebabkan tubuh lebih cegas dan otak lebih cerdas.

(Isi 3 :membawa bekal dapat menjimatkan wang saku)
Hadirin yang dihormati sekalian,
Membawa bekal dari rumah juga dapat menjimatkan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kita. Kita dapat melatih diri untuk berjimat-cermat. Tambahan pula harga makanan yang dijual di kantin mahal berikutan kenaikan harga barang dipasaran. Apabila kita berjimat-cermat, kita juga dapat menyimpan wang saku kita dengan cara menabung. Wang yang disimpan dapat digunakan untuk membeli buku rujukan atau buku bacaan yang lain. Kita juga dapat membeli barang keperluan tanpa membebankan ibu bapa kita lagi.

(Isi 3 :membawa bekal dapat menjimatkan masa rehat pelajar)
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain menjimatkan wang, membawa bekal dari rumah juga dapat menjimatkan masa. Kita tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan makanan di kantin. Malah ada yang berebut untuk membeli makanan kerana masa rehat di sekolah adalah singkat. Kita dapat menggunakan masa rehat dengan sebaiknya dan dapat masuk ke kelas semula pada masa yang tepat untuk meneruskan proses pembelajaran.

Dengan hujah-hujah yang saya telah berikan, makan jelaslah bahawa membawa bekal dari rumah banyak kebaikan dan keuntungan berbanding membeli makanan di kantin. Rakan seperjuangan saya akan menyambung hujah sebentar lagi bagi menegaskan lagi tajuk perbahasan pada kali ini iaitu “Membawa Bekal Dari Rumah Lebih Baik Dari Membeli Makanan di Kantin”.

Oleh : Pn Jijin

Karangan jenis ceramah/syarahan

Syarahan : Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama

Salam sejahtera diucapkan kepada Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk memberi syarahan sempena hari perasmian minggu keselamatan jalan raya. Tajuk syarahan saya ialah ”Keselamatan di Jalan Raya Tanggungjawab Bersama”.

Hadirin yang dihormati sekalian,
(Isi 1 : Keadaan jalan raya pada masa kini)
Tahap keselamatan di jalan raya pada masa kini amat membimbangkan. Banyak kemalangan berlaku terutamanya ketika musim perayaan, cuti sekolah dan jalan-jalan yang merbahaya seperti selekoh dan jalan-jalan yang rosak.

(Isi 2 : Tanggungjawab menjaga keselamatan diri dan penumpang)
Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih prihatin dengan keselamatan diri dan penumpang. Ciri-ciri keselamatan di dalam pemanduan seperti memakai tali pinggang keledar dan memakai topi keledar bagi penunggang motosikal seharusnya tidak dipandang remeh. Ini dapat mengurangkan tahap kecederaan yang serius apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Hadirin yang dihormati sekalian,
(Isi 3 : Tidak memandu dalam keadaan yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain)
Pengguna jalan raya juga diharap tidak memandu dalam keadaan yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Kebanyakkan kemalangan berpunca daripada pemandu yang mengantuk, mabuk, memandu dalam keadaan yang terburu-buru serta lalai terutamanya apabila menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau mengunggang motosikal. Pemandu seharusnya merancang perjalanan dan menguruskan masa dengan baik agar tidak memadu dengan terburu-buru.

(Isi 4 : Mematuhi peraturan jalan raya)
Pengguna jalan raya juga perlu mematuhi pertaturan jalan raya terutamanya mematuhi giliran lampu isyarat dan had kelajuan yang ditetapkan. Pengguna yang melanggar peraturan ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri dan pemandu yang lain, malah membahayakan pejalan kaki di sekitar mereka. Pejalan kaki juga harus sentiasa berwaspada dengan menggunakan kemudahan yang sesuai untuk melintas. Pejalan kaki juga harus memilih arah yang bertentangan dengan laluan kenderaan. Cara ini lebih selamat kerana pejalan kaki dapat melihat kenderaan yang sedang bergerak di hadapan mereka berbanding berjalan membelakangi arus kenderaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
(Isi 5 :Peranan kerajaan dan pihak berkuasa)
Kerajaan juga perlu lebih bertangunggjawab dalam menangani isu keselamatan jalan raya terutamanya menjalankan tindakan segera sekiranya terdapat jalan-jalan yang rosak atau berlubang yang menjadi punca kemalangan berlaku. Pihak berkuasa juga perlu menjalankan tugas dengan lebih cekap bagi memastikan pengguna jalan raya tidak melanggar peraturan dalam usaha mengurangkan kes-kes kemalangan di jalan raya.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Jelas di sini bahawa pengguna jalan raya samada pemandu atau penunggang kenderaan, pejalan kaki, malah pihak berkuasa dan pihak kerajaan mempunyai peranan dalam isu keselamatan di jalan raya. Sebelum mengakhiri syarahan saya pada hari ini, saya menyeru agar semua pihak bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing demi menjaga keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Sekian, terima kasih.

Oleh : Pn Jijin